Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Pesan Untuk Sahabat(i)

Rabu, 27 Ogos 2008

Pesanan Untuk Sahabat(i)

Dan bukankah engkau
lebih tahu;
lebih mengerti,
menghayati?

Manikam manakah
permata berharga;
atau sekadar
kaca sementara?

Akan yang terbaik;
benar, pilihan sendiri.

Dan ini kasih tulus;
tidak terpalik ghairah.
ini sayang mulus;
tidak terpercik dusta.

Untuk seorang sahabat,
daripada seorang sahabat.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-

Nadim Muhammad
Khamis, Ogos 28, 2008
Kolej Kediaman Cemara

Antara Mimpi.

Selasa, 29 Julai 2008

salam alaik.

Ya, antara2 mimpi:-

Kerja Tuhan

kerja TUHAN; siapa tahu?
Telah ALLAH mengaturkan tiap pa untuk hambaNya,
adalah itu yang terbaik, insyaAllah.

bukan tidak pernah melihat,
risau tidak mengerti yg dilihat;
bukan tak pernah merasa,
gusar yg dirasa tak terjangka.

mungkin TUHAN berbicara,
'belum tiba detik dan tika!,
dalam ruang, siap2 bersedia;
tuntut ilmu, penuhkan dada.'


Pesan Panglima


Dan tatkala menghitung detik, meniti saat akhir; sebelum terus Nadim melangkah ke medan laga, akan singgah Nadim pada sebatang sungai kecil, punya air terjun. Hilir adakala tenang, hulu pula teramat jernih. Adapun kelihatan air terjun menderu, mengenangkan tika menggali ilmu bersama Panglima, yang sering mengungkap pesan, “Wahai anakku, asalnya kita hamba, pikulnya kita khalifah; maka, untuk TUAN itu hakNya, dan untuk TUHAN itu hakNya. Wahai anakku, adanya daripadaNya, kembaliNya jua kepadaNya; maka, tidak selain DIA kita memohon. Wahai anakku, bahawa ALLAH itu satu, ESA; tidak ada mungkin yang setandingNya, masakan mungkin. Akan DIA lebih mengetahui, tiap-tiap yang ada pada kita; baik yang terang terzahir, meski sepi disembunyi. Cukup padaNya, kita pasak harap, paksi tawakkal, selepas segala habis ikthiar, usaha.” Entah, lembab udara sekitar begitu nostalgik, memainkan sketsa memori.


Jati Diri

dan juga satu jati diri yang cukup, jua mapan; biar tercampak ke darat, menjadi pohon rendang meneduh; biar tercampak ke laut, menjadi pulau indah didiam. jua, satu kesedaran halus; menebal dalam jiwa,'bahawasanya perjuangan ini atas nama ALLAH'; tidak terbenam suatu niat melencong, apatah lagi atas dunia semata. jua, bijak menilai, lantas memilih; tidak terus-terus menelan segala macam ideologi semasa.
jua, berhati dek melangkah menjejak; moga selamat tiba ke destinasi.


-untuk yg memahami,yg sudi mengerti-

Nadim Muhammad

Tentang Kenangan.

Isnin, 2 Jun 2008




salam alaik,
salam selamat, sejahtera atas semua.

Akan dikisahkan, bahawa, betapa hari ini, dengan segala kekuasaanNya, telah singgah sebentar akan "Kenangan". Meski dalam ratap hiba, sedikit terubat. Persinggahan "Kenangan", benar; seketika, dalam hemat Nadim, punya rahsia.

Mungkin itu isyarat daripada langit, akan meski sayu, jauh lagi perjalanan; panjang lagi perjuangan. Dan juga mengingatkan, akan, dendam yang membara itu perlu terus-terus dinyalakan. Ya, semua belum tamat lagi.

dan benar, ku katakan dengan indah;
kenangan itu, mengingatkan.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad

Bisik-bisik angin

Rabu, 7 Mei 2008

Bisik-bisik angin.


Salam alaik, salam sejahtera, moga dalam selamat-selamat senantiasa. Entah, kali ini Nadim singgah sejenak; berhenti melangkah seketika, sambil-sambil melepaskan sisa-sisa lelah. Nadim punya ujian besar; sangat besar, dekat dan sangat dekat. Akan tiba masa Nadim yang ditentukan, maka telah tiba.

Dalam tika, hening pagi; meski dek unggas masih bangga mendendangkan lagu dan irama rimba; Nadim sepi merintih,

“Wahai angin lalu, sampaikan engkau pada sahabat pertama, akan benar rindu ini; akan benar kasih ini. Sampaikan bahawa akan yang telah berlalu itu; Allah telah menetapkan yang sebaik, terbaik. Akan benar rindu ini, wahai srikandi tanah Minang; meski telah dekat kita dek jarak, akan jauh dek ruang. Akan benar kasih ini, wahai sahabat pertama; meski terasa polos kosong ungkapan itu tanpa makna.”

“Wahai dingin bayu, sampaikan engkau pada srikandi tanah Minang, akan maaf yang paling besar; akan ampun yang paling berat. Sampaikan bahawa akan ketika itu; ada yang lebih daripada diri, ada yang lebih utamanya. Akan maaf yang paling besar, wahai sahabat pertama; meski Nadim tahu, bisik-bisik kamu telah merelakannya. Akan ampun yang paling berat, wahai srikandi tanah Minang; meski Nadim mengerti, akan hari-hari telah cerah.”

“Wahai pawana mesra, sampaikan engkau pada sahabat pertama, srikandi tanah Minang, akan diselindungkan akan kisah, moga Allah lapangkan; akan yang telah terdiam dan terpendam itu, didiam dan dipendam tika itu. Sampaikan bahawa, meski antara pilihan; adalah yang terbaik, insyaAllah yang sebaik-baik, walaupun itu benar-benar melukakan, jua sendiri terluka. Akan, janji Allah, mengikat pertemuan untuk saling melengkap, memperindah dan memperelok. Akan, pilihan merentas jalan yang amat perit, moga hujungnya terlalu indah.”

Sepi. Sayu. Desiran angin terus berlalu, merangkak; membelai. Adakala angin itu berlari-lari, menampar sambil bersiul irama cinta. Nadim akan melangkah menongkah ujian, telah yang Allah tetapkan, telah tiba masanya.

Sahabat pertama, srikandi tanah Minang; maafkan Nadim.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-

Nadim Muhammad
Thursday, May 08, 2008

Pesan; Pesan-pesanan

Khamis, 1 Mei 2008



(dedikasi untuk hanan!)
(i)
wahai hanan, indah rupawan;
si tembam, manis senyuman.
bukan itu jadi igauan,
bukan itu sebab berteman.

dalam takdir mengikat jalinan,
moga terus tetap berkekalan;
meski terpisah dibumi TUHAN,
mekar segar dalam ingatan.

dan jua aku berpesan,
tenang selalu dalam perjuangan;
kenang selalu dalam perjalanan,
ingat selalu Allah menentukan.

tatkala beranjau dalam perjalanan,
hadapi senang dengan senyuman;
berdoa selalu moga dimudahkan,
mungkin itu rahmat TUHAN.

tatkala tersungkur dalam perjuangan,
hadapi tenang dengan kekuatan;
berdoa moga selalu diringankan,
mungkin itu bicara TUHAN.

tika manis dalam kebahagiaan,
jangan lupa itu ujian;
terima seadanya penuh kesyukuran,
bersama tawaduk dan kesederhanaan.

tika manis dalam kejayaan,
jangan leka itu ujian;
teruskan usaha, mantapkan kekalkan,
moga itu penuh keberkatan.

(ii)
wahai hanan, santun budiman;
si tembam, manis senyuman.
sopan itu jadi kenangan,
pekerti kamu jadi ingatan.

selalu sabar dalam perjalanan,
moga tabah menjamah ujian;
meski berkocak hati perasaan,
yakin reda pada TUHAN.

dan terus aku berpesan,
ikhlas timba ilmu pengalaman;
jujur mengikat rakan taulan,
kasihi teman, hormati lawan.

detik bersua akan kelainan,
dekati fahami disebalik keadaan;
mungkin ada hujah penjelasan,
hormati pegangan, raikan kepelbagaian.

detik ketemu akan keraguan,
renung kembali sunnah Al-Quran;
andai tiba dalam kekaburan,
rujuk yang punya pengetahuan.

saat jauh dalam perantuan,
jaga diri, pelihara iman;
awasi larangan, hayati suruhan,
bersama sahabat saling mengingatkan.

saat sendiri dalam perjalanan,
akhlak islami jadikan teman;
istiqamah amalkan menjadi teladan,
petanda itu indahnya ajaran.

(iii)
wahai hanan, sebaik teman;
si manis, tembam senyuman.
unik gayamu itu menawan,
lain caramu jadi sebutan.

cekal tegar meniti cabaran,
moga teguh menyahut dugaan;
hidup ini juga ujian,
dalam kembara menuju TUHAN.

terus melangkah menjejak kejayaan,
meski perit menggalas pengorbanan;
itu syarat dalam perjuangan,
moga dihargai tiap kemenangan.

meski menjauh memikul perjuangan,
ayah bonda usah dilupakan;
doa mereka jadi kekuatan,
moga hari diiring keberkatan.

dan aku menutup pesan,
cukup saja aku nukilkan;
andai silap harap maafkan,
tersilap bicara dipohon keampunan.

sampai sini aku pesankan,
pesan-pesanan, untuk hanan;
moga ukwah terus berkekalan,
selamat berjuang, wahai hanan.

4:48 PM 4/28/2008- 5:09 AM 5/2/2008
Nadim Muhammad
Kolej Kediaman Cemara