Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

untuk srikandi itu.

Jumaat, 16 Ogos 2013





aku tahu, barangkali (bukan sekadar asumpsi) yang kau ingin mendongak kepadaku dan menyelorohkan sumpah seranah itu. atau barangkali kau mendabik dada dengan penuh bangga bahawa, "lihatlah, tuhan telah menggantikan pada aku yang lebih baik, dan kau sepatutnya menyesal".

seharusnya, ya sahabat (kalau aku masih boleh mengunapakai penghormatan itu) pada hemat kalian benar. aku sepatutnya menyesal. seharusnya sedar bahawa telah rugi serugi mungkin dengan pilihan aku yang lalu. barangkali. mungkin. aku sendiri juga seharusnya tersenyum tenang, lagi senang kalau-kalau kau menghamburkan segala caci maki kau itu. 


benar, aku telah membuat pilihan; dan memilih untuk mendiamkan sepanjang jalan-jalan itu. jalan-jalan takdir. jalan-jalan yang dahulu aku sendiri tertanya jika itu memang yang terbaik untuk kau dan aku dalam tiga per empat dekat lalu. dan sesudahnya, takdir itu mentertawakan aku seperti jenaka teragung abad ini; aku sendiri pun adakala turut tertawa dengan jenaka itu (meski itu diri aku sendiri)


benar, aku telah memilih sesuatu yang bukan untuk aku; yang sebenarnya melebihkan lain sebelum aku. barangkali itu sebab kenapa malang demi celaka selalu bertandang. biarlah, rezeki ada cerita pada tangan tuhan itu. tetapi, untuk menjawab pertanyaan yang membekas dan membelah ruang dan masa itu sahabat:- ya, jika kau pernah (masih) tertanya (yang selalu bertanya ketika itu), mari dengan kenyataannya. cinta untuk kamu itu ada. ada lagi nyata. nyata lagi rasa. rasa lagi setia. sejauh perkataan yang tidak pernah terungkapkan.


tetapi begitulah, aku memilih untuk tidak mengungkapkan; memilih cinta kau untuk bahagia daripada cinta aku sendiri. memilih untuk sahaja, dan sengaja diam; membiarkan kau hari demi hari jauh pada ruang dan waktu mesti kita dekat pada jarak dan tempat. meski kita berjalan pada tanah yang sama, seorang sahabat itu tidak lagi seperti pernah kita kenal. baguslah. seharusnya, aku (yang tidak akan, dan tidak pernah menyesal dengan pilihan) bersyukur amat dengan apa yang telah berlaku.


aku memilih cinta kau, (walaupun bunyi sangat 'pathetic') bila aku sendiri sedar dalam waktu ketika itu; aku dengan asal aku tidak mampu menjanjikan apa-apa, tambah pula satu masa depan yang cukup indah. sekadar biar menyimpan cerita dalam mimpi, kalau-kalau itu pernah (meski tidak mungkin sekarang) untuk jadi realiti. aku sedar sangat, bahawa dalam hidup aku ada beberapa perkara yang tidak dapat kita pilih, lalu apabila kita dihukum dengan neraca itu, adalah menjadi satu kezaliman yang nyata. aku, dengan asalku sedar, pada waktu dan ketika itu diam aku lebih baik, dan pilihan aku yang terbaik. lalu, masa pun berlalu.

aku sengaja untuk diam. dengan senang dan sahaja membiarkan kau terkapai, moga kau membenci aku sedalamnya, dan melupakan aku sehabisnya. usaha itu berjaya. bersyukurlah. 

aku memilih cinta kau, untuk kau bahagia bersama cinta kau; mesti itu kau tak pernah tahu. dalam kau mendabik dada, terasa puas atas segala ruginya aku selepas aku sendiri dengan kejamnya mengoyak rabak harapan-harapan, atau menghancurluluhkan jiwa mulus itu atau menjahamkan cinta pendam itu; ketahuilah bahawa tidak ada mungkin yang lagi gembira dalam diam dan senyum aku (dengan berat) aku gembira. mungkin. sangat. sangat bersyukur. setidaknya, selepas berlalu masa aku tahu bahawa pilihan aku pada masa lalu itu memang, dengan izin tuhan yang terbaik. 


benar, tuhan telah menggantikan kau dengan yang lebih, dan sangat baik. seharusnya aku lega benar dengan itu. bersyukur bahawa setidaknya kau dijaga elok, dan seeloknya selepas itu. lalu, fahamlah kau bahawa aku melihat dia, suamimu itu telah membantu aku dengan sangat banyak, dan menringankan beban aku yang sebelum ini berat sekali. melihat kalian, bahagia bersama mungkin satu kebahagian yang tidak terungkapkan kata lagi. syukur, pilihan tiga per empat dekat lalu tidak sia-sia.


jadi ingat, setidaknya kau pernah sampai dan terbaca catatan ini, kau tahu kau siapa. aku daripada hari itu tidak pernah lagi untuk marah, tetapi dalam diam langkahku bahagia melihat kalian dan mendoakan kalian. seperti yang aku mengungkapkan bahawa tuhan maha adil itu menemukan kita untuk saling belajar, saling membaiki tetapi tuhan itu lebih tahu kita tidak saling memiliki. aneh, tetapi tidak mustahil ( telah dibuktikan).  


aku mendoakan kalian selalu. selalu sangat. 

selamat tinggal. 

dan ingat, seperti ariel peterpan melagukan, 



dan mungkin bila nanti, kita akan bertemu lagi; satu pintaku jangan kaucoba tanyakan lagi rasa yang kutinggal mati; seperti hari kelmarin, saat semua disini.

setidaknya, ini adalah rangkap-rangkap yang terhijab masa (yang tidak pernah sampai kepada kau - yang sengaja aku diamkan) . apa yang tertulis, sekadar tinggal pada masa lalu.



Srikandi Cintaku29 jan 2006

Aku mencari yang teristimewa;
seseorang untukku,
untuk kuberikan hati,
untuk kucurahkan kasih,
untuk kulepaskan rindu,
untuk kuabadikan cinta

dan tatkala aku tersesat,
kau hadir tersenyum mesra
Kau gadisku;
srikandi cintaku

Hadirmu satu anugerah;
anugerah teragung,
anugerah teristimewa
Bicaramu lembut;
membelai jiwa
Senyumanmu mesra;
diukir manja

Kau yang satu;
teristimewa buatku
Kau gadisku;
srikandi cintaku

My Angel
15 feb 2006

Is that you;
  my angel?
With a charm,
  delicate smile;
wash out my sorrow,
wipe up my tears.

Is that you;
  my angel?
With a pleasant,
  cheerful laughter;
put out my misery,
make up my day.

Is that you;
  my angel?
With a calm,
  moderate word;
assemble up my strength,
strengthen up my will.

And it is you;
  my angel?
a gift for me;
the gift by god,
to teach me about life,
to teach me about love.
to be my strength,
to be my inspiration,
to be the guardian
   of my heart.

Yes, it is you;
you are the one,
the one and only
my sweet
   lovely angel.



    
 rangkap itu memang sangat kanak-kanak, tetapi setidaknya aku jujur.
untuk kali terakhir, selamat tinggal. 

Nadim Muhammad 



satu ingatan.

Jumaat, 28 Disember 2012

kami telah lama senyap, barangkali kalut dunia itu melelahkan; sehingga tiap kata terucap itu hilang bersama hiruk pikuknya.

moga datang tahun 2013 itu, dengan langkah baru yang lebih bermakna.





Nadim Muhammad

Jenaka Takdir

Ahad, 16 September 2012



kita hanya manusia bodoh,
dengan bangga (konon) mengatur
tiap rancang penuh rapi,
seolah kita telah bersama Tuhan
jauh ketujuh langit menulis akhir.

tapi dalam jahil dengan
sangka kita memilih takdir,
kita dipilih takdir-Nya
dan menjadi jenaka;
ditertawakan masa!

Nadim Muhammad
17 September 2012
Pulau Pinang. 

cerita cinta (vi)

Rabu, 5 September 2012

dedikasi untuk srikandi tanah minang itu (ya, dia wujud)


cinta itu,
bila telah kau reda,
dengan sedalam penuh jiwa;
lalu mendoakan sejujur kata
meski tidak memilikinya.

2004:
"benar, sungguh kita ditemukan untuk saling membaiki diri, 
tapi(rangkap akhir yang kau tidak pernah tahu) **tidak untuk saling memiliki**"

Nadim Muhammad
Pulau Pinang,
6 September 2012
  Bookmark and Share

Sahabat (ii)

Ahad, 2 September 2012



kau (kononnya kupanggil) sahabat;
secangkir madu
yang kau beri dengan
senyum manis itu,
rupanya racun
dengan sengih,
penuh sinis!

(terima kasih,
setidaknya aku tahu racun juga manis!)

Nadim Muhammad
1 September 2012
Kuala Lumpur.


  Bookmark and Share