Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Sungai Dan Lautan

Jumaat, 15 Februari 2008

(Pertama atau terakhir; Pertama dan terakhir)



Ada pun pada suatu ketika, tatkala patik dalam kembara, tertafsir bisikan angin; sepoi-sepoi daripada srikandi.
“Sungai itu dari hulu, jua lautan itu pada hilir; antara itu mana pilihan?”
Entah, aneh jua. Sejenak ada merenung, meneliti dan memahami; terkenang akan patik atas suatu kisah. Ya, satu kisah daripada kembara patik jua. Mungkin, pada hemat patik, ada kaitnya dengan sungai dan lautan itu. Mungkin. Sendiri patik mengertikan, bahawa sungai itu mulanya dari hulu; iaitu satu-satu permulaan. Jua bisa diungkapkan sebagai yang pertama. Dan berlalu sungai itu, hujungnya lautan. Akan simbolik lautan itu atas hilir; yakni penamat, jua bisa diungkapkan sebagai yang terakhir. Mungkin isi bisikan itu tentang ini. Tentang yang pertama, yang terakhir. Pertama dan terakhir; pertama atau terakhir.

Akan pada suatu detik itu, patik disoal dek seorang kenalan akan tentang teman dalam hidup. “Pertama atau terakhir?” Jawab patik, “Keduanya”

Lagi diulang,
“Pertama atau terakhir?” Lagi jawab patik, “Keduanya”

Dan dia itu lantas berbicara,
“Tidak mengertikah akan itu? Pilih cuma pertama atau terakhir!”

Kata patik,
“Mengerti, benar dan amat. Atas itu akan keduanya”

Lalu sambung patik,
“ Benar, dua itu impian. Akan tetap dipaksa dan terpaksa memilih; atas yang terakhir itu lebih utama. Jua atas menjadi yang terakhir itu lebih utama.”

Lagi disoal,
“Megapa itu? Aneh juga, akan kebiasaan, yang pertama.”

Ujar patik,
“Atas mungkin, yang pertama itu belum tentu jua pasti yang terakhir; yang terakhir itu tetap-tetap yang terakhir meski bukan yang pertama. Tidak sekadar dicari itu teman wanita; lantas jua teman hidup. Mungkin sudah aturan TUHAN, menemukan beberapa yang lain sebelum yang terakhir; agar bisa melengkap, memantap dan menyediakan diri untuk yang terakhir. Jua, menjadi yang terakhir; bisa (akan dia) ditekuni pengalaman lalu agar menjadi lebih baik, mengerti akan cinta dan kasih sayang, hidup dan kehidupan lalu menghargai atas apa dalam milik. Jua, satu implikasi diri; sudah bisa menjadi seorang yang bertanggungjawab, berdedikasi jua bersedia untuk segala macam dalam meniti hari mendatang. Ya, moga dimudahkanNya untuk ini, untuk semua ini.”

Ini kisahnya, mungkin tamsilan sungai dan laut itu seperti yang patik ungkapkan tadi. Satu simbolik akan yang datang dan pergi dalam hidup.Ya, dan itu kecil kisahnya. Satu lagi kisah kecil dalam kembara patik. Coret merakam kisah; moga dapat disulingkan hikmah. Bisik-bisik rindu, buat sahabat!

Nadim Muhammad
Tuesday, January 08, 2008

Titah Sultan

Rabu, 16 Januari 2008

Dan segala salam; sejahtera atas Sang Gagak, telah pawana itu membisik sepi rintihan.

Gagak sekadar biasa-biasa;
tidak seindah merak idaman,
tidak secantik angsa igauan.

Juga siulan tidak semerdu,
seiring irama tiung;
bicara madah tidak sepetah,
setanding pidato murai.
****
Dalam hujan, gagak sendiri,
berbisik membisik sayu;
sepi ini, mana akhirnya,
sunyi ini, mana hujungnya,
rindu ini, mana ubatnya,
cinta ini, mana kasihnya.”*

Jua, sayup rintih itu tertafsir dek Sultan tatkala baginda lewat belantara mimpi. Maka atas itu, ada titah-titah dijunjung; buat tenungan, renungan.

Wahai Sang Gagak,
Ingin beta ungkapkan; meski tidak seindah merak, sesungguhnya ALLAH itu terlalu adilNya. Atas firmanNya Al Furqan, ayat 2 beta memetik; “Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.” Maka atas itu, tiap ciptaan itu punya hikmah; telah diciptakan atas kita itu yang terbaik. Maha Suci ALLAH yang mengetahui apa yang terbaik, atas dan untuk hambaNya; meski sering kali terlepas dek pandangan, jarang-jarang disyukuri. Telah sempurna takdir dan aturan tiap hambaNya; maka atas apa yang berlaku itu, hadapi dengan senyuman. Sesuatu yang terlalu sempurna itu, belum tentunya terbaik untuk diri. Ada pun yang sederhana itu memadai; tidak terlalu-lalu kurang, jua tidak pula melintasi sempadan. Atas ungkap srikandi, “Tiada keindahan itu, tiap atas kesempurnaan.”

Dan beta temukan dalam hidup, hakikat bahawa pesona rupa itu sekadar mainan masa; satu fatamorgana. Seindah zahir, tetap-tetap akan hilang bersama waktu berlalu; tiap bunga itu akan layu, tiap kilau meski karat. Bahawa sesungguhnya, tiada mungkin tentu kebahagiaan itu bisa dijamin, andai kita punya sesuatu yang benar-benar sempurna wajah semata; dan terabai segala yang lain. Dalam keindahan itu biar atas satu imbangan; seimbang. Atas tiap yang indah akhlak, elok budi dan pekerti, satu keikhlasan dan kejujuran hati serta manis tutur bicara itu, meski sekadar sejuk mata memandang, dipandang; lebih baik daripada segala yang tercantik andai cantik itu tidak pada personaliti dan diri. Keindahan dalaman itu tetap-tetap kekal, meski masa terus-terus berlalu; memamah ilusi fatamorgana. Andai atas sesuatu itu terlalu-lalu bersandar pada molek wajah, tatkala kemanisan itu hilang, segalanya akan berubah.

Tidakkah terfikir, bahawa meski hitam itu adakalanya dipandang manusia serong, tersingkap rahmat ALLAH yang Maha Bijaksana? Gagak, mengertikah engkau, ukuran pada kasih itu tidak sekadar pesona wajah. Mungkin dalam hitam ini, untuk kamu disediakan yang benar-benar untuk kamu. Yang benar-benar reda atas seadanya; benar-benar sudi memahami dan mengerti, lantas menerima dan menghargai. Yang setia dan bersedia untuk berkongsi segala macam pahit dan manis tatkala melangkah meneroka, menjelajahi hidup dan kehidupan.Kekadang dalam tiap kekurangan itu menjadi kelebihan jua ada tatkala kelebihan itu bisa menjadi kekurangan. Atas aturanNya, mungkin tiba suatu masa nanti, akan ditemukan yang ditakdirkan, yang ditetapkan. Maka usah bersedih dan berduka; pilu dan merana. Tidak atas sesuatu itu sia-sia.

Dan cukuplah beta menitip titah; secebis pesan-pesanan dek lapang yang terluang. Gagak, telah ALLAH tentukan apa yang terbaik; atas yang telah, sedang dan akan berlaku. Cukup sebagai hamba, kita memenerima dengan setenang, sesenang hati dan dada yang paling lapang. Akhir madah, secebis pesan srikandi buat renungan : ada tika ALLAH hijabkan mentari; diganti hujan, kilat serta petir; atas khilaf kita bertanya, tertanya, “TuhanKu, manakan mentari itu? Atas sinar dan hangatnya dirindui”; atas agung kasihNya, ALLAH hadiahkan pelangi, betapa indahnya, meski terkadang itu sendiri kita tidak pernah terfikir dan tertafsir. Semoga selamat selalu hendaknya, wahai Gagak!

-untuk yg memahami-
Nadim Muhammad
December 12, 2007; 5.02 am
*Sajak Sepi Sang Gagak, Tinta Nadim Muhammad 23 Ogos 2007

Mimpi Nadim(ii)-Tentang Cinta

Selasa, 23 Oktober 2007




WATAK-WATAK
Nadim Muhammad
Sultan
Laksamana

Ini khabarnya dalam pentas mimpi.

Katanya, tika itu sekitar penghujung kurun ke-15.

Tatkala genap beberapa purnama merantau, kembali Nadim ke tanah Kayangan. Dan apabila perkhabaran tiba di istana, terus-terus dititahkan Sultan untuk mengadap.
Perkarangan Balairung, Istana Kayangan.

(Nadim melangkah masuk, tiap langkah disusun kemas, lantas menjunjung sembah)

Nadim
Ampun tuanku, sembah patik harap diampun. Patik, Nadim, mengadap.

Sultan
(Tersenyum) Nadim, selamat pulang ke tanah ini. Lama benar jua tidak kita bersua, sejak Nadim merantau, bukan?

Nadim
Agaknya, begitu lebih kurangnya Tuanku. Meski, terkadang itu, terasa patik; masa itu cepat-cepat berlalu, akan pada suatu tika, panjang benar. Lumrah Tuanku.

Sultan
Alhamdulillah, meski, tiba jua Nadim disini. Tujuan beta memanggil Nadim, bukan-bukan sekadar membuang masa, maaf andai tidak Nadim sempat cukup rehatnya. Khabarnya, dalam perjalanan Nadim itu, banyak hikmah yang diperoleh; beta harap sedikit sebanyak, berkongsi dengan beta, dengan sekalian rakyat.

Nadim
InsyaAllah Tuanku, patik berbesar hati. Memang, pesan orang dahulu itu benar, jauh perjalanan, banyak pengalaman. Entahlah Tuanku, sedang patik ini sekadar berkongsi yang termampu. Apa tentangnya Tuanku?

Sultan
Khabarkan pada beta, dalam perjalanan itu, tentang cinta. Tentang-tentang cinta.

Nadim
Tuanku?. (Terkesima)

Sultan
(Tatkala melihat air muka Nadim berubah )Benar Nadim, meski beta tahu, Nadim itu perantau terluka. Kehilangan itu, anggap sebagai ujian. Atas bukan niat beta untuk mengungkit; biar yang berlalu itu, terus-terus berlalu. Hari ini, sekadar sembang-sembang barangkali. Beta harap, meski sembang biar terisi dan berisi. Nadim, benar, kelukaan itu tidak dipinta, akan itu, renung-renungkan hikmah disebaliknya. Kerja Tuhan, siapa tahu.

Nadim
Patik mengerti, ya, meski lagi yang masih sakit, yang luka itu ada. Parut-parut itu, jua menitis-nitis lagi darahnya. Tiap sakit dan luka itu, sudah lama patik reda atasnya; sudah lama patik fahami, atas setiap itu, menagih kesabaran begitu jua pengorbanan. Tuanku, meski yang berlalu itu terus; tetap-tetap patik kenang. Dalam kesedihan itu, ada juga kemanisan, hikmah-hikmah yang bisa patik takfsirkan, yang bisa patik fahami dan mengerti. Patik yakin, dengan kekuasaan Allah, tuhan yang menguasi alam; ada jua rahmat yang tak bisa patik fikirkan. Begitu indah aturanNya, Tuanku. (Kembali tenang )

Laksamana
(Mencelah) Maka, apa lagi dinantikan Nadim, khabarkan bersama, tentang cinta itu.

Nadim
Bawa bersabar Tuan Laksamana. Tidak lari gunung dikejar. Meski, tetap langit yang kita junjung. Mari, patik kisahkan, sekadar atas khilaf patik. Andai salah, jua silap; sama-sama kita belajar.Jeda.
Nadim menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dilepaskan. Ada beberapa seketika, Nadim memejam-mejamkan mata, bingkas, mendonggakan kepala, lalu memandang Sultan.

Nadim
Tuanku, apa yang patik ungkapkan ini,tentang cinta, satu bicara kecil tentangnya. Bukanlah satu-satu omong besar, tiada cukup ilmu yang diungkap, digarap. Tentang cinta; luas benar tafsirannya, seluas konteks kefahamannya. Buat insan-insan yang mengerti, memahami; benar cinta mutlak, cinta abadi itu pada Al-Khaliq, atas cinta itu sendiri datang daripada Nya. Apa yang diungkap ini, mungkin lebihnya pada cinta fitrah; satu anugerah. Sukar benar untuk mendefinisikan; memang pun tiada satu perkataan yang tepat. Tiap individu itu punya persepsi, punya interpretasi. Biar itu, tiada yang menafikan, cinta itu satu perasaan. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar Rum, ayat 21 (membacakan ayat tersebut ):- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Tuanku, cinta itu diberi atas rela, bukan diminta dengan paksa. Satu perasaan yang halus, lahir tatkala hati berasa tenang dan senang dengan seseorang itu.

Sultan
(Mengangguk kepala)Beta mengerti. Teruskan Nadim.

Laksamana
Nadim, bagaimana pula dengan suka dan sayang. Jua itu cinta?

Nadim
Tidak Laksamana. Seperti tiga itu serupa bukan? Cukuplah, suka itu sekadar perasaan, sayang itu satu penghargaan dan cinta itu,bersama tanggungjawab. Suka itu, jua senang dan selesa kita terhadapnya, sekadar itu sahaja. Sayang pula, sentiasa kita doakan, dia selamat dan bahagia juga sekadar itu; tidak pula beerti kita ingin memilikinya. Dan sudah tentu, dalam cinta itu, ada suka dan sudah tentu dengan sayang. Bersama itu, teringin benar menjadi pemilik dan berdamping sentiasa. Suka itu, belum tentu sayang, dan sayang itu belum jua pasti cinta, Laksamana. Akan tetapi, andai sudah cinta itu, tiada lagi ragu tentang sayang, dan suka.

Laksamana
Begitu ya, Nadim (Tersengih).

Nadim
Mari, patik mulakan. (Menarik nafas panjang, perlahan-lahan dilepaskan). Tentangnya, cinta itu suci, mahal nilainya dan tinggi tarafnya. Atas satu, cinta itu wujud sejak kita, manusia itu dilahirkan. Rasa itu, sedia wujud dalam diri dan jiwa insan. Cinta-cinta kepada Allah, Rasulnya, Ibu bapanya, jua insan-insan. Meski, wujud cinta, tidak akan bisa dilihat dek mata, tetapi dirasa dek hati. Dan sesuci dan semurni cinta itu, adalah cinta sejati. Jua, dalam cinta itu, hadir tatkala sesuatu jiwa itu bersedia. Maha Suci Allah, begitu agung kebijaksanaanNya; dengan izinNya, seandainya tiba masa seseorang hamba itu untuk cinta, juga dia bersedia atas cinta itu; meski permulaannya jiwa insan sekadar untuk cinta, lambat laun, hadir suatu keinginan untuk berkongsi satu rasa kewujudan dan kesalingan bersama serta rasa mengashi dan dikasihi. Akan tiba, pada masa itu, sedia jiwa itu untuk setia dan saling memahami; setia menggalas tanggungjawab atas cinta. Reda atas yang dikasihi, jua bersedia untuk berkompromi kerna ikatan itu dalam dua pihak; yang mencinta dan dicintai.(Jeda)

Sultan
Nadim, apakah indah cinta itu; jua khabarkan pada beta, benarkah atas cinta, ada ‘penaklukan’? (Tersenyum)

Nadim
Meski atas wujud cinta itu, tidak dapat dilihat, tetap-tetap cantik dan indah. Indah cantiknya tulen; tidak bertopeng. Bahkan suci dan tulus; suci dan bersih. (Jeda) Mungkin benar tuanku, tentang “penaklukan” itu. Pada patik, dalam cinta itu, ada sifatnya ingin menguasai; benar-benar insan itu untuk dirinya. Apatah mungkin berkongsi. Atas penaklukan yang menuntut untuk mencintai dan dicintai. Meski, tatkala menakluki itu ingin jua ditakluki. Tuanku, mudah kata, ingin memiliki dan dimiliki.

Laksamana
Ya Nadim; cinta juga hidup.(Menyambut sambil tersenyum) Laksana pepohon; boleh cinta berputik lalu mekar, jua boleh layu dan gugur. Jua suci cinta itu. Sucinya, bukan tidak mengharapkan balasan. Suci itu atas tiada noda; jua tiada dosa. Itu fitrahnya cinta; suci ibaratnya kain putih. Pada yang mengerti kesucian cinta itu, pasti tekad kekalkan suci itu; yakni menahan dan menjauhkan cinta itu daripada nafsu yang tidak berbatas. Tercemar suci cinta itu dek nafsu, maka bercinta biar atas syariat; tidak bertunjangkan hati dan perasaan semata. Bercinta itu, umpana mengembara; perlu bimbingan dan panduan, agar tidak sesat dan tiba ke destinasi selamat.

Nadim
Benar Laksamana; pada patik , bukan sekadar indah cinta itu, jua mempersona. Tidak cinta itu nakal, pesona itu atas suci dan bersih. Ibaratnya kita melihat pada seorang anak yang comel lagi bersih. Anak itu tersenyum lalu mendekati. Pesona kita atasnya, bukan sekadar kecomelan itu; bahkan anak itu insan suci daripada dosa. Meski, atas sifat pesona ini, sering manusia alpa, terleka, lantas tersalah langkah. Apa saja tingkah kekasih, terlalu mempersona dan kelihatan cantik, betul meski itu satu dosa yang menodai cinta itu sendiri. Atas pesona ini, seseorang yang bijaksana pun bisa menjadi bodoh. Maka, berhati dan berpada dengan pesona cinta; meski indah, tetap berbisa.

Sultan
Menarik sekali ya, Nadim, Laksamana. Tatkala hari sudah lewat, mari, khabarkan pada beta, apakah bukti cinta itu?

Laksamana
Ya, mari akhiri diskusi ini; patik ingin berangkat, ada urusan di utara.

Nadim
Seindah kata, cinta itu perlukan bukti; mungkin kata kebanyakan bukti cinta itu menyerahkan seluruh jiwa raga. Adakah begitu? Fikir-fikir dan renung-renung. Cinta sejati tidak akan mungkin memusnahkan; apatah lagi merosakkan. Ada pun cinta itu menjaga diri agar terus tetap suci atas suci cinta itu. Benar cinta perlukan pengorbanan; pengorbanan itu bukan harga diri. Cinta sejati itu menjadikan kita lebih berharga; bukan lebih terhina. Seandainya cinta atas bersyarat, apa gunanya? Jika tiap janji tidak lagi tertunai, maka cinta itu akan tamat. Bukti cinta itu pada diri dan hati. Kesetiaan dan kesanggupan yang tiada tanding; jua satu kerelaan untuk menerima seseorang itu, cukup atas adanya .Akhir pesan daripada patik, cinta itu mengambil masa; tatkala memberi jua menerima. Cinta itu percaya, kepada seseorang. Cinta itu tatkala bersama mengharungi pahit maung hidup jua menikmati manis peristiwa. Cinta sentiasa memaafkan; takkan pernah mementingkan diri. Cinta memerlukan komitmen, tatkala mencari kegembiraan dan pengisian hidup bersama. Cinta itu satu perjalanan yang tetap, malar; untuk memahami keperluan masing-masing. Sekian, Tuanku; moga apa yang patik sampaikan bisa dierti juga difahami. Moga tiap patah bisa menyingkap seribu makna; tidak sia-sia. Tiap yang baik itu datang daripada Allah, segala buruk itu kesalahan patik sendiri.

Sultan
Terima kasih Nadim, beta jua harap begitu. Moga sedikit ilmu ini bisa terangi kegelapan. Mungkin sampai sini saja, barangkali, diskusi ini. Laksamana ada urusan bukan? Moga selamat dan selesai hendaknya.

Laksamana
Terima kasih tuanku.

Sultan
Dan Nadim, adakah mungkin Nadim akan berangkat lagi?

Nadim
Atas izin Allah, mungkin patik berada di Tanah Kayangan ini untuk satu purnama; ingin patik meneruskan kembara. Mememugut hikmah di bumi Allah. Tuanku, patik pohon undur diri; moga kita bersua lagi.

Sultan
Ya nadim, moga selamat hendaknya. Tetap pesan beta, tentang hati, tentang cinta; kerja TUHAN, siapa tahu.

Nadim
(Tersenyum)Untuk yang memahami.

Nadim usai dari Balairung Istana.

Ini khabarnya dalam pentas mimpi.
22/10/2007 1:57

Nyayian Rindu (ii)

Khamis, 4 Oktober 2007

nukilan untuk kenangan; insyaAllah harapan.


Dan lagi, simfoni bergema; kau dengar?
Terngiang dek gunung; ibarat terus-terus mendendangkan.
dan terus-terus dilagukan.

Dan bila, rindu ini; masih milikmu.

Rindu ini; bukan lagi rindu biasa.

Ini rindu aku;
bukan pada molek rupa,
tapi atas indah jiwa.

Ini rindu aku;
bukan pada manis bicara,
tapi ikhlas kata-kata.

Ini rindu aku;
bukan atas gopoh;terburu,
tapi dengan cermat; memburu.

Ini rindu aku;
tidak atas pesona wajah,
tapi satu kejujuran hati.

Ini rindu aku;
pada si degil.
Atas tiap kata; penuh makna.

Ini rindu aku;
pada yang istimewa.
Atas tiap fikir; terlalu memahami.

Rindu ini; bukan rindu biasa lagi.
Simfoni ini, kau dengar?

Jua, tetap-tetap sayup.
Nyayian tatkala hujan menanti-nanti mentari dan pelangi.
dan bila rindu ini, masih milikmu.

-untuk yg memahami-

Thursday, October 04, 2007 4:25 AM
(Kolej Kediaman Cemara Akasia)
iQ
SiLeNt 1412

Mimpi Nadim

Rabu, 5 September 2007


“Semalam, patik mimpikan sesuatu yang tidak bisa patik temukan”, rintih Nadim. Nadim tahu benar, akan tiba hari itu, akan tiap hari beliau menghitung, menanti.

“Kebenaran itu, pasti suatu hari terungkap”, pesan sahabat dalam suatu ketika.

Wahai sahabat, meski kau tahu, hari itu telah tiba. Nadim sudah lama bersedia, andai segala mungkin yang terjadi. Apa boleh buat, hukum alam, akan sesuatu itu ada balasan.

Semalam, mimpi Nadim lain benar, binggung juga.

Tersergam Sultan dek singgahsana; kemas pakaian baginda, penuh wibawa. Baginda bertitah, “Nadim, atas segala apa yang kau pendamkan, maka akui. Atas apa yang kau tangiskan, maka akhiri. Nadim, akan tiba detik-detik mana kebenaran itu timbul, sepertinya apungnya kayu dek air.”

Jeda. Dan baginda terus bertitah, “Andai rindu itu ada pemiliknya, maka, diserahkan pada siapa-siapa yag layak dan berhak. Nadim, sehingga hari itu, tidak dapat tidak kau pendamkan segala lagi; meski kau kunci segala bicara, tetaplah yang benar itu.”

“Patik mengerti, tuanku”, pintas Nadim.

Tatkala tersedar daripada mimpi itu, Nadim lantas gamam sejenak. Masakan Sultan terus bertitah, sedang terpisah dek jarak dan tempat. Lama benar tidak bersua.

Mimpi itu, bukan mimpi biasa, bukan sekadar mimpi.

Kisah Srikandi dari tanah Minang. Kisah Nadim dari tanah Kayangan. Siapa tahu, dek benua jauh, bertemu mereka, bersahabat.

Mungkin tentang ini Sultan ungkapkan; satu rahsia yang jenuh-jenuh Nadim simpan, moga tidak lagi berulang. Satu ceritera kecil.

Sahabat, mengertikah dikau, bahawasanya tiap-tiap detik itu, belum tentu ada senyuman. Dan tiap-tiap senyuman disebaliknya, adakah kegembiraan?. Meski kegembiraan itu hadir, maka pastikah yang gembira itu diiring ketenangan. Dan bersama ketenangan itu, tiada jaminan kebahagiaan. Sahabat, Nadim merinduimu.

Nadim Muhammad

24 August 2007